|
Sebelum tahun 1917, sebuah sekolah Cina
bernama Sekolah Boon Hua telah ditempatkan
di dalam Bangunan Kelab Saudagar di Nombor
34, Jalan Besar, Kajang. Selangor. Pada
tahun 1917, Sekolah Boon Hua menyewa dua
buah kedai di Jalan Sulaiman, Kajang untuk
dijadikan bangunan sekolah kerana
bertambahnya bilangan pelajar. Semenjak itu,
sekolah ini menjadi sebuah sekolah yang
bebas, tiada kaitan dengan perniagaan lagi.
1918 - 1930 - Batu Asas Yu Hua
Semasa Sekolah Boon Hua ditubuhkan,
Pengerusi Lembaga Pengelola, En. Low Ti Kok,
Guru Besar Encik Tan Yik Hoh dan tokoh-tokoh
Lembaga Pengelola ada rancangan untuk
mendirikan bangunan sekolah sendiri.
Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan
sekeping tanah di Jalan Low Ti Kok pada
tahun 1918 untuk mendirikan bangunan
sekolah. Pada masa itu, nama sekolah ini
ditukarkan kepada Sekolah Yu Hua. Bangunan
sekolah baru itu mula digunakan pada tahun
1919.
Selain
itu, Lembaga Pengelola telah membeli sebuah
ladang getah yang luasnya 18 ekar untuk
dijadikan harta kekal sekolah. Harta sekolah
itu akan menjamin perbelanjaan kewangan
sekolah tidak terjejas. Dengan itu, batu
asas Sekolah Yu Hua diletakkan dengan kukuh.
Pada tahun 1929, Sekolah Yu Hua mula
mengadakan pelajaran menengah rendah dan
lima buah bilik darjah baru pun ditambah.
Pada masa itu, murid-muris tua yang baru
pulang ke tanah air selepas taman pelajaran
tinggi di Negeri Cina, terus memberikan
bantuan penuh kepada perkembangan Sekolah Yu
Hua. Sejak itu, bilangan murid dan guru
Sekolah Yu Hua semakin meningkat.
1930 - 1945 - Pembelian Ladang
Pada tahun 1934, lima buah bilik darjah
ditambahkan lagi. Selain itu, sebuah asrama
murid-murid juga didirikan untuk menampung
keperluan penginapan murid-murid dari tempat
yang jauh yang menuntut di sekolah Yu Hua.
Pada tahun 1935, Lembaga Pengelola sekolah
dan murid-murid tua berusaha untuk mengutip
derma dan membeli sebuah ladang yang
berdekatan dengan sekolah untuk perkembangan
infrastruktur sekolah. Malangnya, pada tahun
1941, Tanah Melayu jatuh ke tangan tentera
Jepun dan Sekolah Yu Hua turut diduduki oleh
askar-askar Jepun. Pada masa itu, segala
kelengkapan sekolah musnah sekali.
Sayangnya, malang tak berbau.
1945 - 1957 - Jawatan Kuasa Pembangunan
Sekolah
Selepas Perang Dunia Kedua, Sekolah Yu Hua
dibuka semula ia itu pada tahun 1946.
Keadaan sekolah pulih semula dan bilangan
pelajar pun bertambah pesat. Pada tahun
1954, lima buah bilik darjah ditambah lagi
dan pelajaran menengah rendah diadakan
semula. Tidak lama kemudian, Jawatankuasa
Pembangunan Sekolah telah diwujudkan.
Sambutan daripada masyarakat, ibu bapa,
guru-guru dan murid-murid untuk memberi
sumbangan kepada pembangunan sekolah amat
menggalakkan. Bangunan baru ini digunakan
untuk Bahagian Sekolah Menengah pada tahun
1958.
Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun
1957. Mengikut Dasar pelajaran Negara,
Sekolah Yu Hua dibahagikan kepada Sekolah
Rendah Yu Hua dan Sekolah Menengah Yu Hua.
Pada ketika itu, sekolah mempunyai sepuluh
buah kelas dengan 420 orang murid dan 17
orang guru. Setelah 40 tahun ditubuhkan,
Sekolah Yu Hua memasuki suatu era yang baru.
walaupun sekolah Yu Hua menjadi dua, iaitu
Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah,
semangat dan nama tetap satu dan terus
bertambah maju sehari demi sehari.
1962 - 1968 - Penukaran Nama sekolah
Pada tahun 1962, Sekolah Menengah telah
menerima bantuan daripada Kerajaan dan
namanya ditukarkan kepada Sekolah
Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua .
Pelajaran Menengah Tinggi pun dimulakan.
Pada penhujung tahun 1967, projek mendirikan
sebuah bangunan yang mengandungi sebuah
perpustakaan dan sebuah makmal sains yang
lengkap dengan bilik persediaan dimulakan.
Projek ini selesai pada pertengahan tahun
1968.
1973 - 1979 - Penubuhan PIBG Sekolah
Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah
Yu Hua dibentuk pada akhir tahun 1973 dan
Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Yu Hua
ditubuhkan pada 1975. Kedua-dua buah
pertubuhan ini memainkan peranan yang amat
penting dalam pembangunan sekolah.
Pelajar-pelajar sekolah ini bertambah
setahun demi setahun sehingga bilik darjah
tidak mencukupi lagi. sebagai langkah
kecemasan dan sementara, dua buah bilik
darjah (separuh batu-bata dan separuh papan)
didirikan pada tahun 1977.
Jawatankuasa Pembangunan Sekolah disusun
semula pada bulan September 1978 dan dua
buah bilik darjah sementara ditambah lagi
pada akhir tahun 1978 untuk menerima
kemasukan murid-murid Sekolah Rendah Yu Hua
yang bertambah pada tahun itu.
1979 - Rancangan Projek Pertama
Dalam bulah September 1979, satu projek
untuk mendirikan sebuah bangunan tiga
tingkat dengan sembilan buah bilik darjah
telah dimulakan. Projek ini menelan
perbelanjaan kira-kira RM170,000. Pada awal
tahun 1980. Sekolah Menengah Yu Hua telah
meminjam lima buah bilik darjah dari Sekolah
Rendah Yu Hua sehingga bangunan bertingkat
tiga yang baru dapat digunakan dalam penggal
ketiga tahun 1980.
1980 - Rancangan Projek Kedua
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada 14 Mac 1980
mengemukakan cadangan kepada Lembaga
Pengelola Sekolah dan Jawatankuasa
Pembangunan sekolah supaya mengadakan Projek
Kedua untuk mendirikan sebuah bangunan yang
mempunyai makmal sains dan perpustakaan yang
baru. Jawatankuasa Pembangunan sekolah
disusun semula pada bulah April 1981 dan
seterusnya memulakan rancangan Projek Kedua,
iaitu membina sebuah bangunan empat tingkat.
Bangunan ini mempunyai empat buah makmal
sains dengan bilik persediaan yang moden,
sebuah perpustakaan, lima buah bilik darjah
dan tiga buah setor. Projek ini dianggarkan
menelan perbelanjaan lebih daripada
RM500,000. Oleh itu, seruan untuk mengutip
derma pun dirancang dan semua bahagian
samada dari dalam sekolah atau di luar
sekolah berusaha untuk menjayakan Projek
Kedua ini. Projek yang dimulakan pada bulan
Disember 1981 ini disiap pada pertengahan
1982. Lima buah bilik darjah yang baru
dibuka pada penggal ketiga tahun 1982 dan
Perpustakaan Tan Pik Siew pun mula digunakan
pada awal tahun 1983.
1983 - Pengiktirafan sekolah Gred A
1989 - Projek Ketiga (Gambar di muka depan)
Pada tahun 1983 juga, Sekolah Menengah Yu
Hua diikhtirafkan sebagai sebuah sekolah
Gred A. Pada tahun 1987, Lembaga Pengelola
Sekolah dan Jawatankuasa Pembangunan Sekolah
mula merancang Projek Ketiga Projek Ketiga,
iaitu mendirikan sebuah bangunan empat
tingkat yang mempunyai pejabat pentadbir
sekolah, sebuah dewan, sebuah perpustakaan,
sepuluh buah bilik darjah, empat buah bilik
kuliah dan sebuah bilik Alat Pandang Dengar.
Projek yang menelan perbelanjaan RM 1.7
juta ini dimulakan pada 5 Januari 1989.
Bangunan bertingkat empat ini siap didirikan
pada penghujung tahun 1990.
STATISTIK MASA KINI
Dalam masa 14 tahun ini, Sekolah Menengah Yu
Hua telah berkembang maju. Pada hari ini,
sekolah memiliki iklim pembelajaran yang
selesa serta kemudahan yang baik;
-
termasuk 33 buah bilik darjah
-
lima buah makmal sains
-
sebuah perpustakaan berhawa dingin
-
sebuah Bilik Rujukan berhawa dingin
-
sebuah bilik komputer berhawa dingin
-
empat buah bilik kuliah
-
sebuah bilik Alat Pandang Dengar (atau
Pusat Sumber Satu) berhawa dingin
-
empat buah bengkel Kemahiran Hidup
-
Bilik Seni
-
Dewan serbaguna (boleh memuatkan 6 buah
gelanggang badminton)
-
Pentas yang dilengkapi dengan sistem
siaraya yang canggih
-
10 buah bilik darjah berhawa dingin
-
Bangunan 5 Tingkat (sedang dalam
pembinaan)

Selain pembangunan fizikal, sekolah Menengah
Yu Hua juga mengutamakan pembentukan sahsiah
pelajar. Disiplin pelajar dipandang berat
dan para pelajar sentiasa diingatkan supaya
berpegang kepada cogan kata sekolah iaitu
-
Kesetiaan
-
Keberanian
-
Kejujuran
-
Ketabahan
Pusat Sumber sekolah yang merangkumi
Perpustakaan, sentiasa berusaha untuk
meningkatkan mutu pembelajaran dan
pengajaran. Unit Bimbingan dan Kaunseling
pula memberi bimbingan kepada
pelajar-pelajar yang memerlukan khidmat
nasihat di samping menjalankan kursus dan
seminar untuk pembangunan pelajar.
 |