|
Kes Juvana
Kes juvana yang semakin meningkat menunjukkan bahawa
remaja hari ini merupakan golongan yang tidak
berdisiplin dan tidak mematuhi nasihat yang
diberikan. Punca kepada sikap negatif remaja
termasuklah kerenggangan perhubungan antara ibu bapa
dengan anak-anak. Kekurangan perhatian daripada ibu
bapa telah melahirkan generasi muda yang memberontak.
Sejak kecil, ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam mendidik dan membimbing anak-anak. Ibu bapa
meluangkan banyak masa bersama dengan anak. Ibu bapa
menjadi ‘guru’ , ‘kawan’ dan orang tersayang kepada
anak. Ibu bapa akan mengajar anak mereka tentang
apa-apa sahaja, dan yang terpentingnya ialah
mendidik anak untuk menjadi seorang yang baik, dan
berakhlak mulia. Anak-anak diajar untuk mengenali
perkara yang betul dan salah dan sentiasa melakukan
apa-apa yang betul. Anak-anak akan menjadi
berdisiplin dan menuruti apa-apa sahaja yang
diperintah oleh ibu bapa.
Ibu bapa merupakan ‘cermin’ kepada anak. Anak akan
mengikuti arahan dan ajaran ibu bapa. Anak akan
mempunyai nilai-nilai murni seperti beradab sopan,
bersikap positif, dan berbudi bahasa. Mereka akan
mempelajari tentang disiplin. Ibu bapa yang
bertanggungjawab akan memperbesarkan anak yang
disiplin dan bermoral.
Namun, apa yang dapat kita lihat hari ini ialah
anak-anak bukan lagi membesar sebagai seorang yang
sepatutnya. Kebanyakan anak telah berubah sikap
setelah dia membesar. Kes-kes disiplin di sekolah
dan kes-kes juvana yang kian membimbangkan telah
memberi gambaran tentang peribadi anak-anak pada
zaman ini. Anak-anak tidak mempunyai disiplin dan
juga enggan menerima nasihat yang diberikan. Mereka
melakukan sesuatu dengan sesuka hati dan
mendatangkan masalah.
Apakah yang telah menyebabkan perubahan negatif
dalam diri anak-anak? Semasa kecil, ibu bapa memang
menumpukan sepenuh perhatian ke atasnya. Setelah
anak menjadi dewasa, ibu bapa mula menjadi sibuk
mengendalikan hal masing-masing. Anak-anak mula
dibiarkan ‘berdikari’. Malahan ada juga ibu bapa
yang sejak anak dilahirkan tidak pernah mempunyai
hubungan rapat dengan anak. Anak diletakkan di bawah
jagaan saudara-mara ataupun orang gaji dan
penjaga.Tindakan ibu bapa sebegini menyebabkan
anak-anak bebas daripada kawalan mereka. Tanpa ibu
bapa sebagai pembimbing, anak-anak mulai dipengaruhi
unsur-unsur negatif melalui media massa dan orang
lain.
Kawalan diri atau disiplin diri tidak diserapkan ke
dalam diri seseorang anak-anak menyebabkan anak-anak
menjadi nakal dan enggan mematuhi peraturan. Semasa
melakukan sesuatu yang jahat, anak-anak selalunya
berasa ‘seronok’. Contohnya di sekolah, selalunya
murid yang melanggar peraturan menjadi ‘wira’ kepada
rakan-rakannya. Dengan pengaruh rakan sebaya,
anak-anak akan melakukan perbuatan yang bertentangan
dengan apa yang sepatutnya.
Selepas memasuki zaman remaja, sikap suka
memberontak dalam diri anak-anak akan menyebabkan
mereka sengaja mengingkari arahan yang diberikan.
Mereka menjadi keras kepala, dan tidak mengendahkan
nasihat daripada orang lain. Mereka hanya menganggap
ajaran dan nasihat sebagai sesuatu yang remeh.
Ini semua disebabkan oleh kekurangan perhatian
daripada ibu bapa, orang yang sepatutnya dekat
dengan anak. Sebaliknya, anak-anak bermusuhan dengan
ibu bapa kerana pergaduhan dan konflik atas
pandangan yang berlainan. Kekurangan interaksi dan
cara berkomunikasi yang tidak elok memperburukkan
hubungan ini. Ibu bapa sentiasa tidak berada di
rumah, anak-anak berasa dirinya tidak dipedulikan.
Orang yang melahirkan kita kelihatan seperti orang
asing. Ibu bapa langsung tidak memahami anak-anak
mereka. Kedua-dua pihak selalu mempunyai berselisih
faham. Akibatnya, hubungan kekeluargaan menjadi
renggang. Sebuah dinding yang tidak dapat dilihat
dan disentuh telah muncul antara mereka. Keengganan
ibu bapa untuk bertolak-ansur dan keengganan anak
untuk menghormati ibu bapa menjadikan ‘dinding
dendam’ini menjadi lebih tebal.
Sebenarnya, anak-anak hanya boleh dikawal oleh ibu
bapa mereka. Ibu bapa ialah teladan kepada anak dan
mereka dapat mendorong anak untuk berdisiplin. Ibu
bapa patut memberi lebih perhatian kepada anak.
Mereka patut memahami dunia dalaman anak dan
memainkan peranan untuk membetulkan kesalahan anak.
Apabila anak berdepan dengan masalah, ibu bapa patut
berada di sisi anak untuk memberi bantuan dan kasih
sayang. Perhatian daripada ibu bapa dapat mengawal
tingkah laku anak. Anak tidak akan mudah tersalah
jalan jika mereka mendapat kasih sayang daripada ibu
bapa. Mereka akan menuruti kata-kata ibu bapa dan
mendengar nasihat. Mereka akan melakukan tingkahlaku
yang betul supaya tidak menyakiti hati ibu bapa. Ini
merupakan kekuasaan kasih sayang keluarga.
Konklusinya, keprihatinan yang penuh dengan kasih
sayang dapat membentuk seorang anak yang berdisiplin
dan berbudi pekerti. Untuk membentuk anak yang sudah
‘tersalah jalan’,ibu bapa perlu memberi perhatian
kepada anak untuk mencari jalan penyelesaian. Tuhan
telah mencipta manusia terdiri daripada ibu bapa dan
anak. Hubungan rapat kekeluargaan pastinya menjamin
seorang individu yang tidak berhadapan dengan
masalah sikapnya. Kasih sayang ialah sesuatu yang
memang ajaib, anugerah benda ini yang dihadiah oleh
Tuhan pastinya dapat menyelesaikan masalah ini.
Felicia Tan Yee Ying
|