|
Punca-punca Penyakit AIDS Merebak dan Cara-cara
Membasminya
Penyakit AIDS merupakan singkatan perkataan Bahasa
Inggeris ‘Acquired Immune Defiency Syndrome’ iaitu
Sindrom Kurang Daya Melawan Penyakit. Penyakit AIDS
adalah disebabkan oleh HIV iaitu ‘Human
Immuneodeficiency Virus’. Virus tersebut akan
merosakkan sistem imun badan kita dan menyebabkan
kita mudah dijangkiti penyakit lain. Kadar kematian
penjangkit AIDS adalah sangat tinggi kerana belum
terdapat penawar yang berupaya mengubati penyakit
tersebut.
Merujuk kepada siasatan World Health Organisation
(WHO) pada tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya
42 juta orang penghidap penjangkit AIDS dan bilangan
tersebut sedang bertambah dengan kadar yang tidak
dapat dijangkakan. Persoalannya sekarang, mengapakah
penyakit AIDS semakin menjadi-jadi? Tidak adakah
penyelesaian yang harus diambil untuk mengatasi
penyakit AIDS? Tepuk dada tanyalah selera.
Faktor dominan yang menyebabkan penyakit AIDS
berleluasa ialah kekurangan kesedaran tentang bahaya
penyakit AIDS dan kurang mengamalkan amalan gaya
hidup sihat. Golongan remaja yang kurang berakhlak
mengamalkan pergaulan seks bebas iaitu melakukan
hubungan seks dengan ramai orang tanpa memikirkan
kesudahannya. Selain itu, mereka juga melakukan
hubungan seks dengan orang yang tidak mempunyai
ikatan perkahwinan yang sah. Misalnya, kegiatan
pelacuran dan homoseksual telahpun menjadi gejala
sosial yang tidak bermoral. Akibat daripada
amalan-amalan tersebut, penyakit AIDS dapat merebak
secara meluas kerana virus HIV akan dijangkiti
melalui hubungan seks yang tidak terkawal. Jika
seseorang pembawa HIV, maka sesiapa yang melakukan
hubungan seks dengannya akan terdedah kepada bahaya
HIV dan kadar jangkitan terhadap penyakit tersebut
adalah tinggi.
Selain itu penyakit HIV boleh merebak melalui
perkongsian jarum suntikan yang sudah dicemar oleh
darah pembawa HIV. Kejadian tersebut berlaku
terutama dalam kalangan penagih dadah yang
kekurangan wang untuk membeli jarum suntikan baru
daripada pembekal dadah. Oleh yang demikian, mereka
terpaksa berkongsi jarum dengan penagih dadah yang
lain dan terdedah kepada risiko dijangkiti HIV.
Darah yang mengandungi HIV akan dipindahkan ke tubuh
orang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Oleh
yang demikian, hampir 60 peratus daripada jumlah
penjangkit AIDS atau pembawa virus HIV terdiri
daripada golongan penagih dadah.
Kekurangan pengetahuan tentang penyakit AIDS juga
menyumbang kepada peningkatan bilangan pesakit AIDS.
Rakyat seharusnya dibekalkan informasi tentang
penyakit AIDS supaya menjadi tanggungjawab mereka
untuk melakukan pemeriksaan darah secepat mungkin
untuk mengetahui sama ada mereka adalah pembawa HIV
yang berkemungkinan besar akan menyebarkan virus
tersebut melalui hubungan seks rambang, pemindahan
darah, ataupun melalui penyusuan ibu kepada anak.
Jelaslah kepada kita betapa pentingnya bagi rakyat
menyedari tentang bahaya penyakit AIDS yang bukan
sahaja memudaratkan kesihatan tetapi boleh juga
mengancam nyawa seseorang.
Untuk mengatasi masalah yang kian berleluasa ini,
pihak kerajaan seharusnya melakukan pelbagai langkah
yang elektif lagi sesuai. Kempen-kempen yang
bertemakan kesedaran AIDS boleh diadakan sebagai
usaha menyedari rakyat terhadap bahaya AIDS.
Langkah-langkah pencegahan seharusnya diambil
seperti mengamalkan gaya hidup sihat, di samping
mengelakkan perlakuan seks bebas dan senantiasa
membuat pemeriksaan darah bagi memastikan seseorang
itu tidak dijangkiti virus HIV. Selain itu, media
massa seperti media cetak, media elektronik dan
internet berperanan dalam memberi pendidikan dan
kesedaran terhadap rakyat yang masih kurang
kesedaran terhadap bahaya penyakit AIDS. Dengan
gabungan usaha pelbagai pihak, penyakit AIDS
dipercayai dapat dikawal dengan pengawasan yang
secukupnya.
Kementerian Pelajaran Malaysia harus menerapkan
dalam sukatan pelajar mengenai bahaya AIDS serta
langkah pencegahannya sama ada di peringkat sekolah
rendah atau menengah. Langkah tersebut dapat memberi
kesedaran kepada generasi akan datang sejak dari
bangku sekolah lagi. Dengan itu, di harap penyakit
AIDS dapat dikawal dan dibasmi selama-lamanya.
Pendek kata, penyakit AIDS yang lama mengancam
ketenteraman kehidupan manusia haruslah dibasmi demi
kesejahteraan manusia sejagat. Kerjasama antara
pelbagai pihak adalah sangat penting bagi
menyelesaikan masalah AIDS yang merupakan peragut
nyawa sebelum keadaan ini bertambah serius.
Lai Hung En
|